Himmah

"AKU INGIN menyampaikan DAKWAH ini sampai kepada JANIN di PERUT IBUNYA"-Hassan al-Banna

Thursday, May 8, 2014

Erti Segulung Ijazah

The Commencement Stage

Alhamdulillah, thumma Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya aku dapat menamatkan pengajian aku di Vanderbilt University...


Berbagai-bagai perasaan bermain di fikiran aku ketika ini. Jika difikirkan betul2, yang aku perjuangkan di bumi Vanderbilt selama 4 tahun ini hanyalah untuk mendapat sekeping kertas... sekeping kertas yang bertujuan untuk mengiktiraf seseorang sebelum dia melangkah ke alam profesional...





Aku teringat akan kata-kata salah seorang Mujaddid abad ini, Abul A'ala al-Maududi:

"Wahai Pelajar! Kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah..Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi.satu kesukaran buat aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini. Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur, bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian,diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya; alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan. Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini.”

(Abul A'ala Al-Maududi)

Menurut al-Maududi, beliau berpendapat bahawa universiti2 dan sistem pendidikan hari ini tidak ubah seperti pusat penyembelihan. Di pusat penyembelihan kita dapat lihat bagaimana haiwan2 diternak, dijaga, diberi makan dan dibesarkan dengan rapi supaya apabila sudah tiba masanya boleh dipasarkan untuk kegunaan pengguna. Dan situasi yang sama kita dapat lihat dalam sistem pendidikan dunia hari ini, yang mana pelajar2 dipersiapkan, dilatih, diajar untuk menghadapi alam profesional selepas graduasi. Dalam erti kata yang lebih mudah, universiti menyiapkan manusia untuk berkhidmat dalam sistem manusia yang melekakan, melalaikan, tanpa hala tuju dan tidak akan berkekalan, umpama mayat yang sudah mati tanpa tujuan hidup. Inilah yang al-Maududi maksudkan "Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini”, iaitu mencari manusia yang mempunyai matlamat hidup yang jelas (masih hidup), dalam kalangan manusia yang sedang leka mengejar keduniaan (timbunan mayat).



Secara fizikalnya memang aku rasa aku sudah 'disembelih'. Disembelih kerana tuntutan akademik yang meminta pelbagai tugasan untuk disiapkan. Exams, assignments, writing papers, presentations, projects, and others. Adakalanya aku bersengkang mata, memerah otak dan keringat menyiapkan tugasan2 ini. Tambah menyedihkan, ada antara kita yang terlalai menunaikan tuntutan kepada Allah kerana terlalu sibuk dengan tuntutan2 akademik ini, seperti terlewat/tertinggal solat (Subuh khususnya), tiada masa untuk membaca/menghayati makna2 al-Qur'an, tiada masa untuk menyertai aktiviti2 keagamaan kerana terlalu sibuk dengan aktiviti persatuan untuk mencantikkan lagi resume... Astaghfirullah, semoga Allah mengampuni dosa2 dan kelalaian kita sepanjang kita berjuang untuk segulung ijazah ini.

Tapi hakikatnya bukanlah penyembelihan fizikal ini yang dimaksudkan oleh al-Maududi. Yang beliau maksudkan dengan disembelih ialah manusia hari ini dipersiapkan untuk menghadapi dunia dan berjuang untuk mendapatkan keredhaan dunia yang sia2 dan tidak berkekalan... Mari kita muhasabah kembali kenapa manusia hari ini belajar di universiti? Rata-rata manusia hari ini belajar di universiti untuk mendapatkan segulung ijazah kemudian...

Universiti -> Ijazah -> Kerja best -> Gaji best -> Kereta/Rumah besar ->Kahwin -> Kerja -> Balik kerja -> makan/tidur -> Kerja -> Balik kerja -> makan/tidur

Hala tuju hidup manusia hari ini berakhir di dalam satu eternal loop yang tiada henti. Kerja -> balik kerja -> makan/tido -> kerja  di dalam satu pusingan yang berterusan yang hanya akan berhenti apabila MATI.

Firman Allah s.w.t

"Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3) Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4) "

(at-Takathur:1-4)

Dalam ayat di atas, Allah memberi peringatan kepada manusia agar JANGAN leka mengejar dunia sehinggalah nanti mati sudah tidak berguna lagi. Lihatlah kita hari ini, menjelang graduasi atau selepas graduasi akan ramai yang bertanya dan bercerita, "Aku dapat kerja dengan syarikat X, kau dapat kerja mana?", "Gaji aku xxxx, gaji kau berapa?", "Aku dapat jawatan Y, kau dapat jawatan apa?" namun amat sedikit yang bertanya, bagaimana kita dapat memanfaatkan Ijazah yang kita miliki ini untuk membantu agama Allah... Lihatlah bagaimana kita sudah disembelih dengan sistem manusia hari ini, sedangkan Allah sudah berpesan didalam al-Qur'an agar tidak bersifat demikian 1400 tahun yang lalu. 

Ibu bapa menaja pembelajaran kita dengan harapan kita belajar bersungguh-sungguh. Begitu juga sponsorship yang menaja pengajian kita di universiti, mengharapkan kita belajar bersungguh-sungguh supaya ilmu yang dipelajari dapat disumbang kepada penaja tersebut. Segala elaun yang diberikan adalah bersyarat untuk digunakan untuk tujuan tertentu dan jika digunakan untuk tujuan2 lain selain pembelajaran adalah sesuatu pembaziran yang sia-sia. Hakikatnya begitu jugalah nikmat2 yang Allah kurniakan kepada kita!

Segala nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia sejak kita berada di dalam rahim ibu sehinggalah kita mati kelak adalah untuk kita manjalankan tugas sebagai hamba ( adh-Dhariyat 51:56) dan khalifah (al-Baqarah 2:30). Jika nikmat2 ini digunakan untuk tujuan lain, maka ia adalah suatu penyalahgunaan yang sia-sia, sebagaimana seorang pelajar menggunakan elaun belajar bukan untuk tujuan pembelajaran. Sesungguhnya di akhirat kelak Allah akan bertanya kembali kepada kita, untuk apa kita gunakan nikmat2 yang dikurniakanNya di dunia dahulu, seperti firman Allah dan hadis Nabi s.a.w: 

"Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (8)"

(at-Takathur:8)
  
dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis Abdullah bin Mas’ud RA

“Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) :Tentang umurnya dimana dia habiskan. Tentang masa mudanya dimana dia usangkanTentang hartanya dari mana dia mendapatkannya. Tentang hartanya kemana dia keluarkan. Tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. 

(HR. At-Tirmizi)

Alangkah sia-sianya manusia jika nikmat2 kurniaan Allah dan apa yang diperjuangkan di dalam hidupnya semata-mata kerana dunia, bukan kerana Allah. Kerana apabila mati esok, hanya amalan dan amal yang disandarkan niat kerana Allah yang akan dihitung untuk masuk ke Syurga. Jika amal yang diusahakan itu bukan kerana Allah, maka berterbanganlah ia umpama debu, sia-sia tidak dinilai Allah kerana sesungguhnya sesuatu amalan itu bergantung pada niat, seperti sabda Rasululllah s.a.w

“Segala amal itu bergantung pada niatnya, dan setiap orang hanya akan mendapatkan sesuai dengan niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya”. 

(HR Bukhari Muslim, Hadis 40 Imam Nawawi)

Untuk melepaskan diri dari sistem dunia yang menyembelih manusia ini, Islam mengajar kita agar membulatkan niat dan memasang matlamat semata-mata kerana Allah dalam setiap apa yang kita kerjakan. Carilah kerja yang bagus, kereta/rumah yang besar, gadget yang paling canggih, gaji yang lumayan asalkan semua ini dapat disumbangkan kembali untuk memperjuangkan agama Allah, barulah kita bebas dari sistem dunia yang menyembelih manusia, dan membawa manusia kepada kesejahteraan dunia dan syurga di akhirat. 

Satu figura tokoh Mukmin profesional yang cukup aku kagumi, Dr. Hafidzi Mohd Noor merupakan salah seorang contoh terbaik dalam merealisasikan matlamat hidup sebagai Hamba dan Khalifah sekaligus melepaskan diri daripada sistem dunia yang menyembelih manusia daripada hakikat Islam yang sebenar. Beliau seorang pensyarah akademik di UPM, Pengerusi Aqsa Syarif Berhad yang lantang menperjuangkan nasib rakyat Palestin yang ditindas, seorang penulis buku Sejarah Nusantara mengikut perspektif Islam dan juga seorang yang sangat rendah diri. Aku masih sewaktu ingat sewaktu beliau bertandang ke Vanderbilt dan menetap di rumah kami, beliaulah yang menyediakan sarapan pagi untuk kami. 


Sedarlah rakan2, bahawa nikmat memiliki segulung Ijazah ini adalah salah satu daripada nikmat kurniaan Allah yang mana Allah akan bertanya di akhirat kelak, kemana telah kita gunakan segulung Ijazah ini? Adakah untuk mendapat habuan dunia semata-mata, atau untuk memperjuangkan agama Allah. Adakah kita sudah jawapan yang kukuh untuk menjawab soalan Allah itu nanti?

Manusia yang berjaya membulatkan niat dalam pekerjaan yang dia lakukan semata-mata kerana Allah, itulah manusia yang berjaya membebaskan diri daripada sistem dunia yang menyembelih dan melekakan ini. Sangat mudah untuk mengatakan "Aku study kerana Allah", tetapi  hakikatnya tidak ramai yang mampu merealisasikannya. Kalaulah hidup sekadar untuk bekerja, tanpa matlamat yang jelas kerana Allah Ta'ala, tidak ubahlah kita seperti haiwan di hutan, umpama kata HAMKA - "Kalaulah hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalaulah hidup sekadar bekerja, kera juga bekerja"


Selamat ber-Graduasi Vanderbilt University Class of 2014. Semoga gulungan Ijazah ini dapat dimanfaatkan kepada ummat, agar punya jawapan yang baik di hadapan Allah 'esok'. 



No comments:

Post a Comment