Himmah

"AKU INGIN menyampaikan DAKWAH ini sampai kepada JANIN di PERUT IBUNYA"-Hassan al-Banna

Monday, January 28, 2013

Tazkirah Maulidur Rasul: Mengapa kita mengamalkan sunnah Nabi ?


Sambutan Maulid ar-Rasul 2013 telah hampir seminggu berlalu, baru hari ini berkesempatan untuk menulis…

tapi tidak mengapa kerana kasih dan sayang kepada Rasulullah s.a.w sepatutnya tidak bermusim dan seharusnya sentiasa mekar dan subur dalam hati umat Islam !

Nabi bersabda:

"Demi nyawaku di tanganNya, tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak & semua manusia yang lain."

(HR Bukhari)

Kalau hendak berbicara soal hukum menyambut Maulid ar-Rasul, aku kira aku bukanlah orang yang faqih dalam hal ini, kerana para Imam Mazhab juga mempunyai pandangan yang berbeza. Jadi, lebih sesuai untuk merujuk ustaz-ustaz, fuqaha’ dan alim ulama’.

Tapi apa yang aku ingin bangkitkan hari ini sebagai seorang umat Islam marhaen ialah, mengapa kita umat Islam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi s.a.w ??




Adakah kita mengamalkan sunnah-sunnah Nabi dalam kehidupan seharian seperti solat sunat, puasa sunat, memberi salam, memakai wangian (bagi lelaki), membela janggut serta berpakaian ala Nabi (bagi lelaki) dll kerana mengharapkan syafaatnya ? Mengharapkan pahala ? Menampung kekurangan dalam ibadah wajib ? Atau mendapatkan keberkatan ?

Sebelum menjawab persoalan ini, ingin aku bertanya, mengapa peminat Manchester United memakai jersi Manchester United ? Mengapak peminat Justin Bieber buat rambut sepertinya ? Mengapa peminat artis sekian-sekian sentiasa mengambil tahu perkembangannya serta melagu-lagukan nyanyian mereka serta berfesyen seperti mereka ? Mengapa ?

Jawapannya mudah… iaitu kerana minat, kasih, suka, sayang, kagum bahkan rindu kepada mereka !

Jadi, kita sebagai umat Islam yang menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w, apa yang Nabi biasa amalkan sewaktu hayatnya, juga sepatutnya mengamalkan sunnah-sunnah Nabi kerana kasih, sayang, kagum dan rindu kepada Rasulullah s.a.w ! Bukan kerana inginkan syafaat, pahala, berkat dll semata-mata.

Bukannya salah jika mengamalkan sunnah-sunnah Nabi kerana mengharapkan syafaat Baginda, pahala, berkat dll, tetapi sepatutnya niat kerana sayang dan rindu kepada Baginda itu lebih utama !

Kisah Anas Bin Malik

Anda tertanya-tanya rasa sayang dan rindu yang bagaimana ? 

Jawapannya rasa sayang dan rindu sebagaimana sayang dan rindunya Anas Bin Malik kepada Baginda s.a.w.

Secara ringkasnya, Anas Bin Malik adalah sahabat juga anak angkat Rasulullah s.a.w yang berasal dari Madinah. Sejak Anas kecil, ibunya telah menanamkan rasa kasih dan sayang yang amat mendalam kepada Baginda. Sewaktu Anas berusia 10 tahun, Nabi dan para Muhajirin memasuki Madinah beramai-ramai iaitu sewaktu berlakunya peristiwa Hijrah. Hati Anas bersorak girang kerana insan yang ibunya selalu ceritakan akan datang ke negeri tempat tinggalnya.

Orang-orang Ansar semuanya memberikan harta-harta mereka, rumah, tanaman, ternakan, kebun, juga anak dan isteri untuk dikahwini golongan Muhajirin yang sehelai sepinggang. Namun Ibu Anas yang miskin tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan. Lalu ibu Anas memberikan Anas kepada Rasulullah untuk dijadikan pejuang agama Allah.

Semenjak itu Anas tinggal bersama Nabi sehinggalah Baginda wafat. Dalam tempoh 10 tahun hidup bersama Nabi, Anas sentiasa mendampingi Baginda, justeru tidak hairanlah beliau merupakan antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis-hadis. Semasa hayat Baginda, Nabi mendoakan Anas diberkati harta, zuriat dan umurnya. Ternyata doa Baginda dimakbulkan Allah. Anas wafat pada usia 103 tahun serta dikurniakan ratusan orang anak dan cucu dan harta yang berlimpah ruah.

Anas hidup lebih 80 tahun tanpa Nabi kesayangannya di sisi. Oleh kerana kasih, sayang dan rindu yang mendalam terhadap Baginda, Anas menghabiskan usianya selama 80 tahun itu dengan menghidupkan sunnah-sunnah Nabi seolah-olah Nabi hidup di sisinya. Anas merantau untuk menyebarkan hadis-hadis dan ilmu-ilmu yang dipelajarinya sewaktu hayat Rasulullah s.a.w. 80 tahun Anas hidup bersama memori Baginda. Bahkan selama 80 tahun inilah, sunnah-sunnah serta amalan-amalan Baginda menjadi pelepas rindu Anas yang sangat mendalam kepada Baginda s.a.w.

Oleh itu, kita sewajarnya menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sebagai lambang kasih dan rindu kita kepada Nabi, sebagaimana yang Anas Bin Malik lakukan selama 80 tahun hidupnya tanpa Nabi di sisi.

Sunnah Nabi PALING BESAR

Islam menganjurkan umatnya untuk berlumba-lumba berbuat kebaikan:

"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah (dalam berbuat) kebaikan, di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."

 (al-Baqarah 2:148)

Oleh itu, dalam semangat berlumba-lumba berbuat kebaikan, kita juga seharusnya berlumba-lumba mengamalkan sunnah-sunnah Nabi. Untuk berlumba-lumba dalam mengamalkan sunnah Nabi, sewajarnya kita mengamalkan sunnah Nabi yang paling agung dan paling besar !

Namun apakah sunnah Nabi yang paling agung dan paling besar ??

Sesungguhnya sunnah Nabi yang teragung dan terbesar ialah Dakwah dan Tarbiyah (DnT). Sejak Nabi diutuskan sehinggalah ke hembusan nafas Baginda yang terakhir, Dakwah dan Tarbiyah tak pernah lekang dari hidup Nabi. Nabi dicederakan, dipulau, dihina, difitnah, diugut bunuh semuanya kerana Dakwah dan Tarbiyah.



Dalam kita sibuk mengamalkan sunnah-sunnah Nabi seperti memberi salam, senyum, membaca doa/Bismillah sebelum buat sesuatu, memakai wangian dan membela janggut (bagi lelaki), bersiwak, solat dan puasa sunat dll, kita tidak sewajarnya melupakan Dakwah dan Tarbiyah sebagai sunnah Nabi yang paling agung.
  
Justeru, marilah kita berlumba-lumba dalam melaksanakan Dakwah dan Tarbiyah sebagai lambang kasih dan rindu kita kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana kasih dan rindunya Anas Bin Malik kepada Baginda. Bersamalah kita dalam mentajdid niat (perbaharui niat) kita dalam beramalan sunnah. Semoga Allah menerima amalan-amalan kita serta memperoleh syafaat dari Baginda di akhirat kelak, aminnn. 

No comments:

Post a Comment