Himmah

"AKU INGIN menyampaikan DAKWAH ini sampai kepada JANIN di PERUT IBUNYA"-Hassan al-Banna

Sunday, January 13, 2013

Catatan DnT 2012: Teguhlah, Allah yang memilih kamu ! Jika tidak...


Bismillahirrahmanirrahim sebagai permulaan perjalanan DnT (Dakwah dan Tarbiyyah) tahun 2013 dan Alhamdulillah sebagai penutup perjalanan DnT aku bagi tahun 2012.

Berikut aku sisipkan sedikit coretan dan pengalaman perjalanan DnT sepanjang 2012 sebagai peringatan kita bersama…

Awal Fall semester lalu, aku buat pertama kalinya diamanahkan untuk membawa 5, 6 orang mad’u dalam halaqah usrah mingguan. Minggu pertama, minggu kedua, minggu ketiga hanya seorang dua sahaja yang hadir dalam usrah mingguan kami. Saat itu, hanya Allah yang mengetahui betapa ‘down’nya aku. Sehingga satu tahap rasa putus asa nak membawa usrah, naudzubillah…

Sesungguhnya Allah maha memahami akan hamba-hambaNya. Aku dipertemukan dengan beberapa potongan ayat al-Quran dan sepotong kata-kata hikmah dari Sayyid Qutb yang meng’revive’kan semula semangat aku…




"Allah yang menjamin segalanya untuk dakwah. Ketika Allah nak jemaah ini bergerak dengan betul, Allah akan bagi ujian yang besar, kemudian Allah akan lambatkan kemenangan, kemudian Allah akan sikitkan bilangan, kemudian Allah akan lambatkan penerimaan orang, sehingga terbukti mereka sabar, tsabat dan bersedia, sehingga mereka layak menjadi Qae'dah Sulbah (QS), kemudian mereka akan bergerak kehadapan"

(Sayyid Qutb)

dan lalu aku ceritakan potongan-potongan ayat al-Quran tersebut di sini: http://tafaqqahufiddeen.blogspot.com/2012/09/la-ikraha-fit-tarbiyyah.html

Sesungguhnya aku tidak berkuasa untuk memaksa mereka menyertai usrah, Allah-lah yang memegang hati-hati mereka, apa yang aku mampu ialah berusaha menyampaikan fikrahNya dengan sebaik-sebaik mungkin insyaAllah… Lalu aku meneruskan usrah-usrah minggu seterusnya dengan menyampaikan sehabis baik segala bahan meskipun hanya sedikit yang hadir.

Sesungguhnya aku merancang, dan Allah juga merancang tapi Allah-lah sebaik-baik perancang (ali-Imran 3:54)

Alhamdulillah, berkat sokongan ikhwah-ikhwah, dan perancangan Allah yang Maha Bijaksana, kehadiran-kehadiran usrah minggu seterusnya semakin meningkat dan seperkara yang tambah membakar semangat aku apabila usrah kami disertai oleh ahli-ahli baru yang sebelum ini belum pernah menyertai DnT !

Sedang aku berfokus cuba menarik mereka-mereka yang pernah menyertai DnT sebelum ini supaya kembali ke dalam usrah kami, Allah datangkan pula mereka-mereka yang baru untuk menyertai usrah kami... Teringat aku kisah Abdullah bin Ummi Maktum yang Allah rakamkan dalam surah Abasa:

“Dia memasamkan muka dan berpaling, (1) Kerana dia didatangi orang buta. (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad)? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! (3) Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya. (4) Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), (5) Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (6) Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). (7) Adapun orang yang segera datang kepadamu, (8) Dengan perasaan takutnya (melanggar perintah-perintah Allah); (9) Maka engkau berlengah-lengah melayaninya. (10)Janganlah melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat Al-Quran adalah pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). (11)

(Abasa 80:1-11)

Dalam surah Abasa ini, Allah menegur Nabi Muhammad kerana Baginda s.a.w terlalu fokus berdakwah kepada pembesar-pembesar Mekah kerana jika mereka menerima Islam, Islam akan lebih mudah tersebar sedangkan mereka tidak mahukan Islam pun sehinggakan Banginda s.a.w terlepas pandang akan Abdullah Bin Ummi Maktum, seorang penduduk mekah yang buta yang inginkan Islam. Setelah menerima wahyu teguran dari Allah ini, maka Nabi pun menemui Abdullah Bin Ummi Maktum untuk mengajarkan Islam lalu tergolonglah beliau dalam golongan assabiqun al-awwalun.

Pada masa yang sama, aku juga teringat akan kisah penghijrahan Nabi ke Thaif selepas kewafatan isteri dan ayah saudara Baginda yang amat disayangi. Ketika itu, sasaran Nabi adalah untuk berdakwah kepada pemimpin-pemimpin Thaif dengan harapan jika mereka menerima Islam maka seluruh penduduk Thaif juga akan menerima Islam. Namun, dakwah Nabi ditolak bahkan Nabi dibaling batu sehingga berdarah kaki Baginda. Dipendekkan cerita, sedang Baginda berlindung di dalam sebuah kebun, datang Addas iaitu hamba tuan kebun tersebut kepada Baginda menghidangkan setangkai anggur dan akhirnya Addas menerima Islam daripada Baginda. Dr. Awadh, bekas pensyarah di Vanderbilt University ini pernah menghuraikan kisah ini. Katanya, sedang Nabi berfokus untuk menyampaikan Islam kepada pemimpin-pemimpin Thaif tetapi akhirnya mereka menolak, lalu Allah pertemukan Nabi dengan Addas yang tidak Nabi sangka-sangka akan menerima Islam dengan hati yang terbuka. Dr. Awadh menambah lagi, Allah-lah yang memilih Addas untuk menerima Islam yang mulia ini dan bukan pemimpin-pemimpin Thaif yang Allah pilih !

Sesungguhnya kisah-kisah ini membuktikan perancangan manusia adalah serba lemah sedangkan perancang Allah adalah sebaik-baik perancangan, Allahuakhbar. Kisah-kisah ini mirip dengan apa yang aku lalui, sedang aku fokus untuk menarik mereka kembali ke dalam usrah, Allah memilih orang lain untuk memperjuangkan agamaNya.

Allahuakbar, sesungguhnya janji Allah dalam surah at-Taubah adalah benar:

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(at-Taubah 9:39)

Dalam ayat ini Allah menceritakan, mereka yang enggan memperjuangkan agama Allah, Allah akan gantikan mereka dengan kaum yang lain dan Allah tidak rugi sedikitpun bahkan merekalah yang rugi !

Demikianlah janji Allah, Allah pertemukan aku dengan anak-anak usrah yang baru setelah anak usrah yang asal lari dari jalan DnT ini. Dan sekiranya aku sendiri lari menjadi naqib mereka, maka sesungguhnya aku juga akan Allah gantikan dengan naqib yang lain maka tergolonglah aku dalam golongan orang-orang yang rugi, naudzubillah…

Ikhwah dan akhawat yang Allah rahmati,

Yakinlah, percayalah antum-antum yang menyertai DnT hari ini adalah pilihan Allah. Allah yang memilih anda semua untuk memperjuangkan Islam yang telahpun pasti kemenangannya seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadith-hadith. Tsabatlah, teguhlah, sabarlah dalam perjuangan ini dan janganlah putus asa atau lari dari jalan ini kerana kelak Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain ! Maka kelak akan rugilah anda, serugi Zuljaushan yang terlepas menjadi golongan assabiqun al-awwalun

Dan percayalah anda yang sedang membaca artikel ini juga adalah Allah yang pilih ! Jadi, anda fikirlah dengan hati, apa peranan anda untuk membantu Islam, jika tidak Allah juga akan menggantikan anda…

Menuju minggu-minggu akhir usrah kami bagi tahun 2012 yang kini disertai oleh 8 orang, aku dapat rasakan kemanisan usrah kami, dan aku harap mereka juga dapat merasakannya. Sesi mentadabbur al-Quran sahaja mengambil masa hampir sejam kerana masing-masing bertukar-tukar fikiran dan perasaan mengenai ayat-ayat al-Quran yang kami baca, tidak seperti usrah-usrah lain yang pernah aku sertai. Subhanallah…

Aku tak pasti sama ada Hafiz Nordin, Ilman Ziad dan Zharfan ada membaca artikel ini atau tidak tapi yang pasti, aku kagum dengan semangat antum semua meskipun baru menyertai DnT. Aku doakan antum tsabat (teguh) dalam perjuangan DnT ini kerana Allah-lah yang telah memilih antum sebagaimana Allah memilih Abdullah Ummi Maktum dan Addas !

3 comments:

  1. saya nak tanya. kita kena ikhlas nak join usrah kan? kalau kita rasa tak senang, tak rasa bahagia dalam usrah tu, tak dapat nak masuk dengan ahli2nya,rasa rendah diri,or maybe sebab kita agak pendiam & tak kisah la apa pun sebabnya,apa patut di buat?? patut ke keluar? patut ke tak join lagi? saya tau, memang yang join ni antara yang di pilih Allah. mohon pendapat awak. tQ.

    ReplyDelete
  2. Bismillah

    nasihat saya, jangan keluar dari usrah tersebut kalau tiada usrah lain utk disertai kerana firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 41 - "berangkatlah kamu, sama ada rasa ringan atau berat..."

    dan sesungguhnya rasa ikhlas itu dapat dipupuk dengan paksaan. contohnya, dulu ,masa kita kecik2, kita dipaksa solat oleh ibu bapa kita. semakin kita meningkat dewasa dan memahami erti seorang Islam, semakin ikhlas kita menunaikan solat... jadi, paksalah diri kita untuk menyertai usrah sekalipun belum ikhlas, bahkan paksalah diri kita untuk berbuat apa jua kebaikan ! insyaAllah akan datang rasa ikhlas itu

    ReplyDelete
  3. terima kasih :') InsyaAllah. tapi, rasa bersalah.

    ReplyDelete