Himmah

"AKU INGIN menyampaikan DAKWAH ini sampai kepada JANIN di PERUT IBUNYA"-Hassan al-Banna

Tuesday, October 9, 2012

Ciri-Ciri Seorang Daie


"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada 
(mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri"

(Fussilat 41:33)

Inginkah anda menjadi orang yang mempunyai perkataan yang paling baik di sisi Allah ? Iaitu dengan menjadi seorang daie Allah (penyeru kepada agama Allah)... Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang daie ?

1. Pertama-tama, sebelum memulakan usaha dakwah, ikhlaskanlah niat kerana Allah semata-mata. Tanpa keikhlasan, segala urusan akan runtuh dan musnah. 

Hebatnya sikap ikhlas ini umpama 'dadah'. Seorang daie tidak sedar die telah menghabiskan seluruh harta bendanya, segala kudrat dan masanya pada jalan dakwah kerana sifat ikhlas ini tadi seakan-akan telah melalikannya dari merasa miskin, penat dan putus asa kerana dia yakin akan janji Rabbnya di akhirat kelak. 

2. Menjiwai betapa besarnya tugas dan tanggungjawab yang dipikul. Dengan itu daie itu akan memberikan perhatian yang selayaknya dengan tugas tersebut dan dalam masa yang sama merasai ganjaran yang tidak menantinya. 

Instistusi usrah, dakwah dan tarbiyyah kita hari ini bukanlah suatu institusi picisan yang hanya disertai oleh orang-orang noob dan nerd. Tidak sama sekali ! Institusi ini adalah satu institusi acuan Allah s.w.t melalui RasulNya yang bertaraf global dan antarabangsa yang mempunyai matlamat yang amat besar, jelas dan nyata, iaitu ingin mengembalikan Islam ditempat asalnya, baik di mata dunia atau di hati penganut Islam sendiri. Dan para daie mestilah sedar, hari ini kita bergerak, berusrah bukanlah sekadar pengisi masa lapang, tetapi sebagai tonik untuk mempersiap siagakan diri untuk jihad yang lebih besar. 


3. Melaksanakan tugas dakwah dengan bijaksana, berhikmah, pandai memilih uslub (mendekatan) yang sesuai, memberi tunjuk ajar dan menasihati yang baik serta berbincang cara yang terbaik. 


Berhikmah dalam berdakwah bukan sahaja bererti bijaksana, bahkan lebih tepat untuk dikatakan - berdakwah mengikut kesesuaian. Sirah Nabi s.a.w membuktikan Nabi-lah manusia yang paling berhikmah dalam berdakwah. Bila mana Baginda berdepan dengan penggusti arab, Nabi bergusti dengannya. Bila mana Nabi berdepan dengan penyair arab, Nabi menyairkan kalimah-kalimah Allah kepada mereka. Inilah yang dinamakan berhikmah dalam berdakwah. 


4. Hendaklah bersikap ramah mesra, mempermudahkan urusan dan memiliki akhlak yang baik. Semua ini dilakukan dengan sabar, lemah lembut (tidak cepat marah), mengharapkan pembalasan di sisi Allah hasil daripada rintangan yang dihadapi ketika melaksanakan derja-kerja dakwah, dan menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w dan para du'at yang mengikuti jejak langkah baginda s.a.w.

5. Memahami selok belok cara hidup dan budaya masyarakat yang mengelilingi daie itu. Juga memahami aliran dan isu-isu yang berlaku di alam masyarakat, serta berusaha untuk mengenali dengan lebih mendalam mad'u yang didakwahnya.

Adakalanya seorang daie mungkin mempertikaikan mengapa Allah melahirkan di dalam keluarga yang tidak mengikuti dakwah dan tarbiyyah, di dalam persekitaran masyarakat yang sudah sebati dengan adat resam dan budaya yang tidak berlandaskan Islam sepenuhnya, sehingga si daie ini tadi perlu menanti ke usia 20-an untuk mendapatkan tarbiyyah yang benar-benar tulen. Tetapi inilah sebenarnya cabaran dan tugas yang Allah turunkan kepada daie itu, iaitu untuk menyeru keluarga dan masyarakat sekitarnya untuk bersama di jalan dakwah dan tarbiyyah kerana sudah tentu si daie memahami pemikiran dan cara hidup mereka sejak dia kecil lagi. Sudah tentu ini bukan sesuatu yang mudah, namun si daie mestilah ingat, tiada jihad yang sia-sia di sisi Allah. 

6. Mempelajari dan memahami sirah Rasulullah s.a.w dan sejarah Islam untuk dijadikan bekalan. Si daie akan mendapati di dalamnya terdapat pelbagai bentuk penyelesaian masalah yang mampu membantunya menyelesaikan masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan beberapa pendirian yang diambil oleh generasi muslim yang pertama.

Sirah dan dakwah Rasulullah juga adalah acuan Allah dan sejarah Islam juga adalah sunnatullah yang semuanya berlaku dengan izin Allah. Buta dan tulilah para daie hari ini jika tidak mengambil iktibar dari sirah dan sejarah umat Islam sejak dari zaman arab jahiliyyah sehinggalah ke zaman kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah 1924 

7. Menghafaz al-Quran sebanyak yang mampu untuk dijadikan dalil dalam kerja-kerja dakwahnya. Pendekatan melalui kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran mempunyai kesan yang besar dalam jiwa. 


8. Dalam setiap perbualan dan perbincangan, unsur akal (kefahaman dan logik) hendaklah dipandukan dengan unsur-unsur perasaan dan kejiwaan. Sesungguhnya membangkitkan unsur perasaan dan kejiwaan akan mempersiapkan akal untuk menerima apa yang disampaikan kepadanya akan meninggalkan kesan.

Siapakah yang lebih hina dari mereka yang mempunyai akal, mata, pancaindera yang lengkap, tapi masih mendustai dan tidak meyakini kekuasaan Allah ? inilah antara tugas para daie, iaitu mengajak manusia memanfaatkan akal dan pancaindera untuk menghayati kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya yang melata di Bumi, bukan sekadar membuat konklusi saintifik dan mengajak manusia menggunakan hati untuk memahami ayat-ayat allah, bukan sekadar pembasah lidah.

Wahai para du'at Allah, persiapkanlah dirimu dengan ciri-ciri ini kerana seruan dakwah amat memerlukan manusia seperti kamu, kelak Allah akan menggantimu dengan daie yang lain, makan rugilah kamu ketika itu dan sesungguhnya kamulah umat pertengahan yang menghubungkan risalah-risalah Allah kepada manusa sekalian alam...


"Dan demikianlah (sebagaiman Kami telah memimpin kamu ke jalan lurus), 
Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (umat pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan 
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu..."   

(al-Baqarah 2:143)


nota kaki: dipetik dan diolah dari "Dakwah Fardhiah" - Syeikh Mustafa Masyhur, Musyidul Am Ikwanul Muslimin ke-5 

No comments:

Post a Comment