Himmah

"AKU INGIN menyampaikan DAKWAH ini sampai kepada JANIN di PERUT IBUNYA"-Hassan al-Banna

Friday, October 26, 2012

Catatan Aidiladha '12: Pemuda Hari Ini dan Pengorbanan

As-Syahid Imam Hassan al-Banna menyebut di dalam risalahnya Wahai Pemuda, bahawa yang dinamakan pemuda itu mestilah mempunyai  4 ciri-ciri iaitu yakin, ikhlas, bersemangat dan bertindak...

Jika aku yang hari ini berusia 20 tahun dan anda-anda di luar sana mengaku yang anda adalah seorang pemuda, kita wajib memiliki sifat-sifat ini dan sekiranya kita luak meskipun satu daripada ciri-ciri ini maka tidak sempurnalah kepemudaan kita...

Dan sifat-sifat ini tidaklah terbatas kepada jantina, fizikal dan usia... jika kita berusia 100 tahun sekalipun, jika sifat-sifat ini ada dalam diri kita, kita adalah pemuda ! 

Namun, pemuda bagaimanakah yang diperlukan untuk membangunkan Islam ? Adakah sama pemuda Islam dan bukan Islam meskipun mereka sama-sama memiliki sifat-sifat ini ? sudah tentu tidak !

Tariq Bin Ziyad pembuka kota Andalus (Sepanyol), Sultan Muhamad al-Fateh pembuka kota Constantinople (Istanbul) dan Salahuddin al-Ayyubi merupakan antara contoh-contoh pemuda terbaik Islam sepanjang zaman yang mana keyakinan, keikhlasan, semangat dan perjuangan mereka telah menggegar dunia  ketika usia muda mereka suatu ketika dahulu dan pemuda seperti inilah yang Islam perlukan !

Tariq Bin Ziyad sewaktu masih remaja melihat kota Andalus dari puncak Jabal Tariq (Gibraltar hari ini) dengan yakinnya melaungkan keinginannya menawan kota Andalus dan menyebarkan Islam di sana meskipun niatnya itu diperlekehkan sendiri oleh saudaranya. Sultan Muhammad al-Fateh sewaktu diingatkan oleh gurunya Syeikh Shams ad-Din and ayahnya Sultan Murad II akan hadis Nabi yang menyebut bahawa sebaik-baik raja adalah raja yang berjaya membuka kota Constantinople dan bersamanya adalah sebaik-baik tentera, dengan yakinnya beliau berkata, 'sesungguhnya raja yang Rasullulah maksudkan itu adalah aku !'. Berbekalkan keyakinan inilah beserta keihkhlasan kerana Allah, semangat yang membara dan perjuangan yang tidak mengenal erti putus asa, mereka berjaya membuka kota Andalus dan Constantinople. 

Usia dan fizikal bukanlah pengukur kemudaan seseorang, asalkan sifat yakin, ikhlas, bersemangat dan bertindak ini ada dalam diri kita sepanjang hayat sekalipun, selagi itulah kita kekal awet muda seumur hidup !

Abu Ayoub al-Ansari mekar hidup sepanjang hayatnya sebagai seorang pemuda. Beliau merupakan seorang sahabat Rasulullah saw yang turut serta bersama tentera-tentera Yazid Bin Muawiyah sewaktu peperangan menentang Rome untuk menawan kota Constantinople dan ketika itu usianya sudahpun menjangkau lebih 100 tahun ! Meskipun fizikalnya sudah tidak mampu dan pada mulanya tidak dipersetujui Yazid Bin Muawiyah, namun keyakinan, keikhlasan, semangat dan perjuangan beliau mengejar syahid membatasi segala-galanya !

Hari ini kita dapat lihat Syeikh Hafiz Salamah, seorang pejuang peperangan Mesir-Israel tahun 70-an dan turut serta bersama tentera-tentera Islam sewaktu pergolakan di Libya, hidup sentiasa muda dengan sifat-sifat ini.  Dan hari ini beliau sedang berada di Syria mengejar syahid di sana bersama para mujahidin Syria meskipun usia beliau sudah menjangkau 80-an ! Sesungguhnya beliaulah pemuda yang benar-benar muda jika dibandingkan kita hari ini yang mahu mengangkat selimut bangun subuh apatah lagi qiam pun berat...

Syeikh Hafiz Salamah
Usia muda kita ini bukanlah satu kitaran dari kanak-kanak,  remaja dan kemudian dewasa semata-mata. Sesungguhnya tidak ! Sesungguhnya usia muda, semangat muda ini adalah suatu nikmat yang akan Allah persoalkan di akhirat kelak ! Untuk apa telah kita habiskan usia muda kita ini ??

Rasulullah s.a.w bersabda dari Abdullah bin Mas'us RA:

“Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) :


Tentang umurnya dimana dia habiskan. Tentang masa mudanya dimana dia usangkan . Tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya. Tentang hartanya kemana dia keluarkan. Tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. 

(HR at-Tirmizi)

dan Allah berfirman: 

"Kemudian sesungguhnya pada hari itu (akhirat) kamu akan ditanya tentang segala nikmat yang telah dinikmati kamu (di dunia)"

(at-Takathur 102:8)

Jadi, sudahkah kita bersedia untuk menjawab pertanyaan Allah ini jika esok malaikat Izrail menjemput kita pergi ? Adakah kita punya jawapan yang terbaik untuk dikemukakan kepada Allah ? Adakah jawapan banyak main game, banyak tengok movie, banyak berhibur, banyak bercintan-cintun, banyak main/tengok bola, banyak sangat bekerja mengumpul harta, banyak sangat belajar nak dapat 4.0 sampai lupa akan tanggungjawab kita sebagai khalifah dan hamba Allah suatu jawapan yang baik ? Tepuk dada tanyalah iman...

Tidak dinafikan yang usia muda begitu banyak sekali tarikan-tarikan dan godaan-godaan yang selalu menjerat kita.  Aku pernah hidup dalam pelbagai komuniti yang berbeza dan aku sendiri pernah alami godaan-godaan sebegini. Di usia muda inilah, jiwa anak muda sering bergelora inginkan hiburan, permainan, bersukan dan nafsu mula menuntut jiwa anak muda ini mencari duit membeli keinginan nafsu mereka seperti motosikal, smart phone canggih-cangguh, pakaian-pakaian berjenama, alatan elektronik/gadget-gadget terkini, nak itu nak ini yang mana jika disenaraikan sampai esok pun belum tentu habis...


"Dijadikan indah kepada dalam diri manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi bertatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)

(ali-Imran 3:14)

Sesungguhnya, sempena Hari Raya Aidiladha yang mengajar kita erti pengorbanan ini, keinginan-keinginan dan kehendak-kehendak nafsu yang menggoda-goda sewaktu usia muda inilah yang kita perlu korbankan ! Usahlah kita impikan ingin berkorban seperti Nabi Ibrahim yang sanggup menyembelih anakya, atau seperti Abu Bakar as-Siddiq dan Abdul Rahman Bin Auf yang menggadaikan segala hartanya demi Islam atau seperti Mus'ab Bin Umair yang meninggalkan harta, pangkat dan kedudukannya yang tinggi semata-mata bersama Islam ataupun seperti Hanzalah yang yang mengorbankan malam pertama bersama isterinya untuk mengejar syahid jika karat-karat jahiliyyah di dalam diri dan kehendak-kehendak nafsu sendiri yang lebih bertuankan kehendak berbanding keperluan pun kita tak mampu nak korbankan demi Islam...

Sesungguhnya inilah yang kita perlu korbankan sebelum kita bercita-cita ingin mengejar tahapan korban yang lebih tinggi seperti para sahabat dan para Nabi. Tanamlah dalam diri kita akan sifat yakin, ikhlas, bersemangat dan berjuang demi Islam kerana Islam itu menjadikan hati dan fizikal kita subur sepanjang zaman !

Selamat Hari Raya Aidiladha 1433 H dari Nashville, Tennessee, United States  

1 comment:

  1. it feels weird but still proud how some people like you can still remember his God :)

    ReplyDelete