Himmah

"AKU INGIN menyampaikan DAKWAH ini sampai kepada JANIN di PERUT IBUNYA"-Hassan al-Banna

Saturday, September 15, 2012

sesaat dan sesaat

Sudah sebulan kehidupan robot aku bermula. Bangun tidur, makan, belajar, assignment, belajar, assignment, belajar, assignment, belajar, assignment, mandi, tidur. Esoknya pun sama... umpama hidup aku ni sudah diprogramkan untuk sedemikian. Mana pergi masa-masa aku untuk ibadah, dakwah, tarbiyyah, amalan-amalan sunat ? 

Liqa' mingguan sering mengetuk pintu hati aku untuk sentiasa mengingati Allah, untuk sentiasa bersemangat dalam dakwah dan tarbiyyah, untuk sentiasa menjaga mutabaah amal, untuk sentiasa meningkatkan amalan serta meninggalkan jahiliyyah yang mendarah daging dalam diri...

Tapi saat sahaja keluar dari liqa', saat aku meneruskan urusan-urusan seharian, aku seakan-akan lupa apa yang telah murabbiku pesankan. Adakalanya aku leka menghadap komputer, lepak-lepak, terlalu sibuk dengan pelajaran sampaikan aku terlupa pesanan-pesanan murabbiku...adakah aku seorang munafik yang berpura-pura di hadapan murabbiku ??

teringat aku kisah Hanzalah dan Abu Bakar as-Siddiq...


Suatu hari Hanzalah mengadu kepada Abu Bakar, "ya Abu Bakar, aku risau aku ni seorang munafik yang berpura-pura di hadapan Rasulullah. Saat Baginda bercerita perihal syurga dan neraka, aku menangis-nangis seolah-olah syurga dan neraka itu benar-benar di depan mataku. Tapi setelah aku pulang kepangkuan keluargaku, kembali menguruskan harta-hartaku, bermain-main dengan anak-anakku, aku seakan-seakan lupa apa Baginda sampaikan tadi.  Adakah aku seorang munafik ya Abu Bakar ?" 

Lalu Abu Bakar menjawab, "Demi Allah ya Hanzalah, aku juga rasa apa yang kau rasa !" 

Lalu mereka berangkat menemui Baginda s.a.w serta meluahan kegusaran hati mereka kepada Baginda. Lalu Baginda menjawab," Demi Allah, jika kamu kekal seperti ketika bersamaku dalam urusan-urusan seharianmu, nescaya malaikat akan menjabat tanganmu semua. Tetapi hai Hanzalah, sesaat dan sesaat - sesaat adalah untukmu beribadah kepada Allah dan sesaat lagi untuk kamu menguruskan hal-hal kehidupanmu"

(Mafhum HR Muslim)

Malaikat Allah ciptakan sebagai makhluk yang taat beribadah dan mempunyai tugasan-tugasan khusus mereka. Lain pula dengan manusia yang mempunyai akal dan fikiran, hawa dan nafsu dan bertanggungjawab memakmurkan bumi Allah sebagai khalifah. Inilah yang Rasulullah maksudkan "malaikat berjabat tangan" iaitu malaikat seolah-seolah respect tabik spring kepada manusia -manusia yang sentiasa taat beribadah setiap masa laksana malaikat-malaikat itu sendiri. Namun Nabi mengingatkan yang manusia punya tanggungjawab duniawi yang juga wajib dilaksanakan disamping beribadah. Dan inilah yang Nabi maksudkan sesaat dan sesaat, sesaat untuk beribadah dan sesaat lagi untuk urusan-urusan dunia. Jika kita sedang beribadah, maka beribadahlah bersungguh-sungguh dan jika kita sedang melaksanakan urusan dunia, maka laksanakanlah ia juga dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah.

Pengajaran ringkas yang dapat aku pelajari dari hadis ini ialah "sesaat dan sesaat". Maksudnya, waktu untuk belajar adalah waktu untuk belajar, waktu untuk rehat adalah waktu untuk rehat, waktu untuk ibadah adalah waktu untuk ibadah. Usahlah campur adukkan waktu yang kita peruntukkan ini untuk perkara yang tidak sepatutnya. Jika waktu pagi telah aku biasakan untuk solat sunat Dhuha pembuka pintu rezeki, maka solatlah dengan khusyuk, usah ingatkan assignment yang berlambak. Jika waktu malam adalah waktu aku mengulangkan kaji pelajaran maka belajarlah bersungguh-sungguh, usah mencuri masa berFB pula. Namun yang penting, niatkan apa yang kita lakukan kerana Allah, insyaAllah semuanya akan dihisab sebagai ibadah disisiNya. 

Disini aku sisipkan pesanan murabbiku buat peringatan kita bersama:

 "Selagi mana kita tak melapangkan diri untuk untuk Allah, selagi itu kita akan disibukkan dengan perkara-perkara lain"

1 comment:

  1. tak pernah dgr cerita tengtang hanzalah dan saidina abu bakar ni.. kadang2 terdetik juga di hati adakah kita org munafik....sekarang baru dpt jawapannya.. teruskan berkongsi ya !

    ReplyDelete